0

Takutkan Allah S.W.T

Posted by iLy@s isM@iL on 6:50 PM in ,
Takutnya Para Malaikat:

Jabir r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Pada malam Aku diisrakkan, Aku melihat Jibril a.s seperti bekas air yang diperbuat daripada kulit biri-biri yang lusuh dan yang usang kerana takutkan Allah SWT."

Satu riwayat menceritakan bahawa Jibrail a.s telah datang kepada Nabi SAW dalam keadaan menangis. Lalu baginda bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis?" Jibrail menjawab, "Semenjak Allah menciptakan neraka Jahanam, airmataku tidak pernah kering kerana bimbang aku akan melakukan dosa dan seterusnya akan dilontar ke dalamnya"

Takutnya Nabi Muhammad SAW:

Daripada Aisyah r.a katanya, "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa sehingga nampak anak tengkoknya. Baginda hanya senyum sahaja. Apabila baginda melihat awan mendung dan angin kencang, aku melihat air mukanya berubah. Lalu aku bertanya, Wahai Rasulullah! Apabila orang ramai melihat awan mendung, mereka akan bergembira kerana mengharapkan hujan turun, tetapi engkau sebaliknya. Apabila engkau melihatnya, aku dapati riak wajahmu menampakkan rasa tidak senang dan bimbang." Lalu Nabi SAW bersabda, "Wahai Aisyah! Apakah yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak datang bersama azab dengan angin." Satu kaum lagi berkata apabila melihat, "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita."

Takutnya Para Sahabat r.a:

Ketika Umah bin al-Khattab r.a mendengar ayat-ayat al-Quran, beliau jatuh sakit dan diziarahi beberapa hari. pada suatu hari, beliau mengambil segenggam jerami gandum dan berkata, "Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti jerami ini. Alangkah baiknya aku tidak menjadi sesuatu yang bernilai dan alangkah baiknya kalau ibuku tidak melahirkan aku." Pada wajahnya terdapat dua jalur hitam kesan dari tangisannya.

Ketika Sufyan al-Thauri sedang nazak, beliau mula menangis. Seorang lelaki berkata padanya, "Wahai Abu Abdullah, aku melihat (tangisan kamu ini) mungkin kerana kamu banyak dosa." Lalu Sufyan mengambil sedikit tanah dan berkata, "Demi Allah, dosaku lebih ringan pada sisiku daripada tanah ini, tetapi sebenarnya aku takut dicabut imanku sebelum aku mati."

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Begitulah hebatnya kehebatan iman dan perasaan takutkan Allah para malaikat, Nabi SAW dan para sahabat. Sedangkan para malaikat sentiasa mengikut perintah Allah dan Nabi SAW adalah nabi yang maksum (terpelihara dari melakukan dosa). Para sahabat juga adalah dari kalangan yang sentiasa bersama Nabi SAW dan mempunyai kekuatan iman yang sangat tinggi. Jika dibandingkan dengan diri kita ini, adakah kita mampu mencapai tahap itu sedangkan dosa yang kita lakukan tidak terkira banyaknya. Tidak terdetikkah di hati kita perasaan takut di atas segala dosa yang kita lakukan.

Hayatilah ayat di bawah ini.

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Mulk: ayat 12)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; Mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam." Sunan At-Tarmizi.

Moga kita diberi hidayah dan petunjuk olehNya. Kita adalah hambaNya dan padaNya lah juga kita akan kembali.

Wallahualam~~

0 Comments

Copyright © 2009 JuSt AnotHeR StoRy oF MiNe All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.